Saturday, May 15, 2010

Perlu ke..??

Apabila kita berbicara tentang kehidupan, pelbagai ragam dan jenis manusia akan kita kaji dan kenali. Lihat saja di dunia ini, di planet bumi ini, terdapat beratus negara, berjuta negeri, beratus juta daerah, bertrilion manusia. Allah S.W.T telah berfirman di dalam Al-Qarim : "Tidak aku jadikan manusia dan jin melainkan untuk beribadat kepada-Ku". Jelas sudah perintah Al-Khalik di mana setiap manusia dan jin itu apabila telah wujud di atas muka bumi ini, maka WAJIBLAH untuk setiap kejadian itu beribadat kepada-Nya.

Apabila soal perkataan IBADAT itu diterjemahkan dan dibahaskan, majoriti dalam umat manusia kini telah mengecilkan skop penggunaan perkataan itu. Lihat saja di Muslim Malaysia, majoriti-bukan semua -melihat apabila kita sebut saja IBADAT, apa yang mereka lihat adalah solat, puasa, zakat, haji dan rukun islam yang lain-lain. Tetapi, IBADAT itu sendiri telah diperjelaskan oleh para 'ulama dulu dan kini bahawa, setiap perbuatan yang baik, yang dikerjakan dengan cara yang benar, dan diniatkan demi Allah S.W.T, adalah Ibadat.

Lihat, begitu pengasihnya Allah S.W.T terhadap sekalian hambanya. Perbuatan seharian kita sendiri telah pun dijadikan sebagai ibadat kita kepada Allah. Apabila kita berbicara soal amanah dan tanggunggjawab yang diberikan kepada kita, apabila kita mengerjakannya dengan penuh ikhlas, benar, tiada selindung, demi Allah, maka ia dianggap sebagai ibadat. Soal amanah yang diberikan kepada kita bukanlah perkara main-main. Lebih-lebih lagi apabila kita dilantik untuk mengetuai dan mengkoordinasikan sesuatu organisasi. Kita sebagai ketua. Sabda Nabi Muhammad S.A.W : "Setiap ketua itu dipertanggungjawabkan atas apa yang diketuainya..."

Menjadi ketua bukannya perkara mudah. Semua tahu ia bukan mudah tetapi kelihatan mudah. Hanya mengarah sesuatu kerja dan biarkan orang di bawah melaksanakan. Benarkah begitu..? Anggapan sebegini adalah apa yang berlaku sekarang. Segelintir mereka yang dilantik ketua beranggapan begitu, kerana itulah mereka menjadi ketua. Apabila sesuatu terjadi, jenis ketua beginilah yang melarikan diri, senyap tanpa memberi penjelasan kepada pihak yang sepatutnya, dan tidak mengambil apa-apa tindakan untuk menanganinya. Jadi, tidak hairan jika organisasi itu rapuh, terumbang-ambing dan kelam kabut.

Ketua mesti menjadi contoh yang baik kepada setiap orang bawahannya. Ungkapan "cakap tak serupa bikin" perlu diatasi oleh setiap ketua. Biasanya, ungkapan itu dikeluarkan oleh orang-orang bawahan yang hanya tahu bercakap, hanya tahu memberi komen tanpa memberi apa-apa cadangan yang BERNAS untuk mengatasi masalah itu. Orang bawahan yang seperti inilah yang perlu dididik semula agar ia tidak menjejaskan organisasi.

Seseorang ketua tidak akan menjadi sempurna. Semua manusia di dunia ini tidak sempurna.
Namun, apabila telah dilatik menjadi ketua, setiap individu itu perlu berusaha untuk menjadikan dirinya sempurna untuk melakukan tanggunggjawabnya itu. Setiap manusia, setiap insan berhak dan layak menjadi pemimpin. Tiada yang mustahil. Apa yang membezakan adalah tahap kepimpinan yang perlu dipimpin. Memimpin diri sendiri juga adalah menunjukkan diri kita pemimpin. Tapi, kalau diri sendiri tak terpimpin, jangan ambil risiko untuk memimpin orang lain.

Dalam usaha ke arah mewujudkan kepimpinan yang cemerlang, individu di setiap peringkat perlu memberikan kerjasama. Seorang pemimpin yang bagus adalah individu yang semasa dia di peringkat bawah, memberikan kerjasama yang baik kepada pemimpinnya. Jadi, dia tahu yang mana perlu diikut dan yang mana perlu dibantah secara bijaksana. Hak bersuara dalam sesuatu kepimpinan tidak boleh dimansuhkan kerana ini akan membuatkan kepimpinan itu seperti diktator. Musyawarah adalah penting namun perlu diingat, terdapat beberapa perkara yang perlu diterhadkan hebahannya.

Tuntasnya, sesuatu kepimpinan yang cemerlang adalah berteraskan kepada pemimpin itu sendiri, bagaimana ia memimpin orang lain dan sejauh mana ia berjaya memimpin dirinya sendiri. Perlu diingat, kita bertanggunggjawab terhadap apa yang kita pimpin kelak.